BLOGGER TEMPLATES AND Blogger Templates »

Tuesday, January 18, 2011

Antara Cinta dan Airmata. Part 3

"Liya, aku dengar Syima nak dirisik Hakim, betul ke?" Anis menepuk bahuku.  Aku mengunci loker sebelum menoleh ke arah Anis.

"Iye lah kot" ujar ku ringkas. Seboleh mungkin aku tak mahu persoalan ini dibangkitkan di kilang tempat aku bekerja.

"Kau ni boleh pulak kot kot" Anis membalas.
"Kau dah siap check stok semalam?" Aku cuba mengubah bicara. Malas aku nak memikirkan soal Syima. Lelah aku nak mengingatkan urusan keluarga yang tak pernah anggap aku sebahagian dari mereka.
"Dahhh.." Jawab Anis kelat.

"Liya, macam mana permohonan kau kerja kerani di Kuala Lumpur tu dapat tak?" Anis masih tidak putus asa mengajak ku berbual.

Aku termenung mengingatkan permohonan jawatan kerani di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Aku menghantar borang permohonan bulan lepas, namun masih belum ada jawapan. Aku membiarkan persoalan itu tidak membelenggu diriku seketika. Tumpuan terhadap kerja perlu diutamakan sekarang.

"Oi Liya, aku tanya ni"
"Oh, belum ada jawapan lagi la Nis. Jom buat kerja"

Aku memandang sekilas wajah Anis mencebik. Aku ketawa kecil.

*****************************************************

" Sharifah Zaliya" 

Aku menoleh ke belakang. Aku terpana melihat Encik Hakim, pemilik kilang ini. Orangnya kacak, tinggi, kulitnya putih persis orang arab, berkaca mata dan segak bergaya. Selama aku bekerja disini tidak pernah sekalipun disapanya aku. Tetapi kenapa hari ini? Aku mengagak mungkin atas urusan Syima yang bakal dipinangnya minggu depan.

"Ye tuan, ada apa yang boleh saya bantu?" Aku menutup rasa gugup. 

"Syima tidak datang bekerja ke  hari ini" tanyanya.

"Datang tuan, mungkin terlewat sedikit" tidak pasti jawapan apa yang harus aku berikan.
Syima pun satu, mungkin dia fikir dia bakal menjadi isteri pemilik kilang lalu kedatangan ke kilang ini tidak lagi dipentingkannya. 

"Hmm okey, kalau dia datang saya nak jumpa dia sekejap ada urusan sedikit. Boleh awak sampaikan pesanan saya?"

" Boleh tuan, insyAllah tuan" aku menunduk kan sedikit kepala tanda hormat.
"Terima kasih. Tidak perlulah bertuan-tuan dengan saya lagi Zaliya" sempat dia melemparkan senyuman dan terus berlalu pergi.

Aku masih gugup. Entah kenapa. Mungkin selama ini aku melihat Hakim dari jauh dan tidak pernah bertegur sapa. Tapi hari ini, kerana Syima, pemilik kilang sabun ini merangkap bakal menjadi saudara ku menegurku. Sedikit kaget namun aku terus menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh sebentar tadi.

Waktu rehat jam 1.00 petang aku masih tercari-cari kelibat Syima. Masih tidak kelihatan. 
"Liya, Liya" Anis mencuit bahu ku.
"Tu..tu.." Anis memuncungkan mulutnya ke satu arah.
Dari jauh aku melihat Syima dan Hakim berjalan beriringan. Kedua-duanya tertawa riang. Aku merenung Syima, jelita dan menawan berbaju kurung satin merah jambu. Susuk tubuhnya yang persis model itu menyerlahkan lagi penampilannya. Hakim dan Syima bagai pinang dibelah dua. Sama cantik sama padan. 
Syima memandang ku sekilas. Aku tersenyum ke arahnya. Tiada senyuman balasan darinya. Aku menyambung menghabiskan bekalan nasi dan sayur bayam ku. 

"Confirm la tu" Anis mengomel.

"Anis lepas habis kerja nanti aku tak dapat teman kau ke kedai buku. Aku nak balik rumah awal sikit. Nanti Mak Lang bising"
"Yelah..yelah.." Anis menjuihkan bibirnya yang munggil itu. Anis memang comel dan genit. Tanpa keletahnya di kilang ini pasti aku kebosanan.

************************************

Aku melabuhkan badan yang lesu di atas katil. Sejak aku pulang tadi tidak kelihatan kelibat Mak Lang atau Liya. Mungkin masin-masing sibuk dengan urusan membeli belah untuk kenduri merisik minggu depan. Ada ke takde ke aku sama saja. Aku melepaskan keluhan.

Aku bangkit dari katil, mencapai tuala lalu ke bilik air untuk mandi. Usai solat Asar, perutku bergendang meminta diisi. Aku ke dapur merenung meja makan yang kosong. Seperti yang aku jangkakan tidak akan ada walau sedikit pun lauk dan nasi ditinggalkan untuk aku.

Aku mencapai kuali lalu menggoreng telur. Nasi yang sedikit berbaki aku tarah hingga licin keraknya. Nasi yang berkerak itu ku gaulkan dengan telur goreng. 

Bunyi deruman enjin kereta membuatkan suapan terakhir ku terbantut. Aku menjenguk ke luar tingkap. Sebuah kereta BMW diletakkan betul-betul di hadapan rumah Mak Lang. Aku melihat Mak Lang dan Syima keluar dari perut kereta mewah itu. Muka Mak Lang bersinar-sinar penuh kepuasan dan kegembiraan. Manakala Syima melemparkan senyuman kelat kepada Hakim. Syima mengangkut semua barang-barang yang dibeli sambil dibantu Hakim. Syima berjalan mendahului Hakim.Langsung tiada riak kemesraan di wajah Syima seperti yang kulihat di kilang tengahari tadi. 
"Syima..kot ye pun ajaklah Hakim naik ke rumah" Mak Lang menegur Syima yang menonong masuk ke rumah.

Syima tidak endahkan panggilan Mak Lang, terus dia masuk ke bilik dan menutup pintu. Begitulah Syima ,
tidak suka diperintah. Aku melihat wajah Hakim berubah. Mungkin malu diperlakukan begitu oleh Syima.
"Terima lah Hakim, Syima tu moody" bisikku sendirian sambil ketawa kecil.

"Takpelah makcik, saya balik dulu ye. Kirim salam pada Syima dan Zaliya ye Makcik" Berubah muka Mak Lang bila  Hakim menyebut namaku. Mak Lang melemparkan senyuman yang dipaksa. Mak Lang memang tidak suka nama ku disebut-sebut orang apatah lagi bakal menantunya yang kaya raya tu.

"Mak Lang mari Liya bantu" Aku cuba menjernihkan hati Mak Lang yang mungkin sedikit geram dengan pesanan Hakim tadi.

Mak Lang membatu. Dilemparkannya barang-barang yang dibeli di hadapan ku, lalu Mak Lang masuk ke bilik dan menghempas pintu bilik.

"Kemana kuah kalau tak tumpah ke nasi" aku bermonolog sendiri.


0 comments: