BLOGGER TEMPLATES AND Blogger Templates »

Tuesday, January 18, 2011

Antara Cinta dan Airmata. Part 1

Kedinginan malam ini menyengat hingga ke tulang hitam ku. Aku mengambil sehelai selimut dan membaluti tubuhku. Kepekatan malam membuatkan aku masih tidak mahu berganjak dari serambi rumah ini. Sejak dari petang tadi aku masih disini. Ralat untuk ku masuk ke dalam.Kelat untuk ku melihat wajah sepupuku yang asyik melaram dan perit lubang hidungku dengan bauan minyak wangi yang entah berapa botol dipakainya.

"Liya!! oo Liya!!" Jeritan Mak Lang dari dapur membantutkan lamunan ku. Sengaja ku biarkan jeritan itu sebanyak tiga kali.
"Ye Mak Lang...."
Aku bangkit dari simpuhku dengan lemah. Malas rasanya. Laju kakiku melangkah masuk. Bebelan Mak Lang akan makin panjang jika aku lewat menerjah pekikannya.

"Syima mana?" tanya Mak Lang sambil berkerut-kerut keningnya memandangku. Bila pulak aku jadi 'babysitter' Si Syima tu makcik oi. Ngomelku dalam hati cuma.

"Mungkin dalam biliknya la tu" ujarku dengan penuh keyakinan.

Masa aku lalu depan pintu biliknya tadi sudah ku terbau haruman minyak wanginya yang semerbak, sambil ku terdengar suaranya bercakap dengan seseorang di telefon. Sekejap-sekejap terdengar jeritan kecil Syima memarahi seseorang di talian. Pasti dia ada di dalam bilik. Bergayut dengan Syafiq mungkin.

"Yang kau ni dari tadi aku panggil pergi mana? Lauk pauk dah hidang? Panggil Syima ada benda aku nak cakap dengan dia" tinggi suara Mak Lang menyebabkan aku bergegas menghidang lauk pauk diatas meja untuk santapan makan malam.

"Aku cakap pergi panggil Syima pekak ke kau"

Aku berlari anak ke bilik Syima. "Mak Lang ingat aku ni robot ke. Kejap ke sana kejap kesini." Bisikku cuma. Sudah menjadi kebiasaan pekikan dan laungan Mak Lang singgah ke telinga ku.Aku sudah tidak ambil pusing dengan semua itu. Terluka hati usah dicerita. Menangis meraung tak pernah diendah Mak Lang apatah lagi sepupuku Syima. Arwah Pak Lang yang dulu begitu menyayangiku dan memanjakanku telah kembali ke Penciptanya 2 tahun yang lalu. Sejak itu, hidupku  diburu derita angkara Mak Lang dan Syima.

Belum sempat tanganku singgah ke pintu bilik Syima, Syima menguak pintu biliknya. Tersembul biji matanya melihat aku terpacak depan biliknya. Rambutnya yang perang dan panjang itu dilurut lembut ke depan, sambil menjeling aku di hadapannya.

Cantik. Tapi tidak secantik budi bahasanya.

"Apa kau nak?"
" Mak Lang panggil" ujarku pendek lalu aku berpaling untuk pergi. Tak tahan aku nak menghirup bau minyak wanginya yang kuat itu.

Terdengar keluhan nya yang kuat. Memprotes panggilan ibunya. Aku berjalan ke dapur mendahuluinya.

"Ada apa mak!" tinggi suaranya sambil melangkah kan kakinya ke dapur.

"Kau  mari duduk sini mak nak cakap" Mak Lang terkocoh-kocoh ke ruang tamu. Mengajak anaknya turut serta. Syima dengan malas mengekori emaknya dari belakang.

"Ada apa ni mak, sibuk-sibuk ni. Hal penting sangat ke?" Syima mencapai remote televisyen lantas jarinya menekan butang on.

Aku yang sedari tadi melihat kelakuan Mak Lang yang pelik mengintai dari dapur, sambil tanganku sibuk memanaskan lauk-pauk untuk dihidang.

"Syima, anak Mat Seman nak merisik kau. Kau suka tak?" terbit kegirangan dalam nada suara Mak Lang.
Aku di dapur cuma memasang telinga.

" Dia nak risik Syima untuk anak dia yang mana?" nada Syima tidak begitu teruja dan tiada riak terkejut dalam nadanya.Matanya masih tertancap di tv sambil jarinya mencari-cari saluran tv yang menarik.

"Untuk si Hakim" masih dalam nada kegirangan dan penuh pengharapan.

"Okey" Jawab Syima bersahaja.

"Kau setuju ke Ma" semakin girang suara Mak Lang.

"Dia kaya tau Ma, kalau kau kahwin senang hidup kau. Kereta Mecedes ada BMW ada, rumah banglo dua biji" Mak Lang pasang angan-angan. Nada nya semakin seronok bercerita tentang kekayaan Pakcik Mat Seman kepada Syima.

Tiada sahutan dari Syima. Aku tau Syima tidak begitu pandang soal kekayaan. Syima adalah gadis paling cantik dalam kampung ini. Masuk Hakim, sudah ramai yang kaya-kaya masuk meminang tetapi ditolak Syima dengan alasan belum bersedia untuk kahwin. Tapi aku hairan bila Syima menyatakan persetujuannya menerima kedatangan rombongan Hakim, anak Pakcik Mat Seman yang kaya raya itu. Setahu aku, Syima sedang bercinta bagai nak rak dengan Syafiq anak penghulu kampung ini. Mak Lang pasti tau. Namun Syafiq bukan calon menantu pilihan Mak Lang. Syafiq cuma bekerja di sawah. Petani moden. Selepas tamat ijazah Syafiq pulang ke kampung mengerjakan sawah bapanya.


"Kalau kau setuju, minggu depan dia bawa rombongan meminang" Mak Lang masih teruja.
"Hmmm..." Syima membalas.

"Kalau macamtu mak nak siap-siapkan soal kenduri nanti......"

Terdengar derapan kaki Mak Lang di atas rumah kayu usang ini. Berkeriut bunyi kayunya.

"Dah siap Liya?"
"Dah Mak Lang"
Memang aku umpama orang gaji bagi Mak Lang. Aku dilayan seakan tidak wujud di dalam rumah ini. Apa-apa cerita dan berita tidak pernah Mak Lang borakkan kepada ku.

Sudah terbiasa dengan keadaan ini. Aku tidak pernah mahu bertanya apa kepada Mak Lang mahupun Syima tentang apa jua yang berlaku sekalipun terhadap mereka.

"Syima mari makan." jemputku. Aku ke ruang tamu memanggilnya makan. Syima masih tidak berganjak. Tangannnya masih menekan-nekan remote tv. Tidak langsung dibalasnya penggilan ku malah tidak langsung ditolehnya aku.

"Syima!!!  mari makan cepat mak dah lapar ni" pekik Mak Lang dari dapur. Syima mencampakkan remote di kusyen lantas ke dapur. Aku yang sedari tadi terkebil-kebil berdiri di sebelahnya langsung tidak diendahkan. Halimunan agaknya aku ni. Sayu hatiku, namun cepat-cepat ku pujuk agar tidak melarat. Begitulah Syima tidak pernah mahu bercakap denganku sejak dulu. Hanya sepatah dua kata sahaja yang menyinggah untukku.

Aku melangkah lemah ke dapur. Aku melihat Mak Lang dan Syima berbual sambil ketawa. Aku masih berdiri di pintu dapur melihat kegembiraan mereka. Hatiku sayu. Aku membawa kakiku ke serambi tadi tempat aku merenung nasib diriku.

0 comments: